Dia Dibuli di Rumah, Sebab Itulah Dia Jadi Pembuli di Sekolah…

Pagi Ahad hantar Along ST (7 tahun 8 bulan, Darjah 2) ke sekolah. Entah kenapa pagi ini terdetik rasa nak ikut sampai ke kelas (biasanya hantar ke pintu pagar sekolah saja), jam pun masih awal. Tangan kanan menjinjing beg Along dan kiri menggenggam erat tangan Along.

Ada beberapa ibu bapa turut sama berada depan kelas Along, nampaknya bukan saya seorang saja ‘ikut’ anak sampai ke kelas. Saya perasan ada seorang pelajar lelaki dalam kalangan ibu bapa tersebut.

Selesai membiarkan Along masuk ke kelas meletak beg di tempat duduknya dan Along datang menyalami saya terus melangkah menuju ke dewan perhimpunan, saya menyapa beberapa ibu bapa yang ada di sebelah situ.

Nampak ada seorang wanita sedang bercakap-cakap dengan seorang pelajar lelaki yang sedang menangis. Mungkin anaknya…

“Ada apa tu, nampak macam menangis tu?” saja saya bertanya khabar rakan-rakan ibu bapa yang ada di situ, sekadar ‘buat modal sembang.’

Jawab seorang wanita yang ada di situ, “Tengah cakap-cakap. Budak lelaki tu pernah sepak anak lelaki dia, bukan di kaki tetapi di kepala. Minggu lepas budak tu cubit tangan anak dia, sampai luka dan berkudis. Jadi, dia nak nasihatlah sikit, supaya jangan buat lagi….”

“Oh!” baru saya tahu. Terkejut dengar cerita buli sampai jadi begitu, dan terbit rasa risau dengan keselamatan anak sendiri.

“Anak tak pernah cakap kena pukul dan buli ke? Budak tu nama X (bukan nama sebenar),” tanya si wanita tadi kepada saya.

Jawab saya, “Tak pernah, anak saya tak pernah sebut nama X tu pun…” Saya menarik nafas lega, mujurlah… Tak pernah Along menyebut dibuli bahkan tak pernah juga dengar Along bercerita tentang X.

Tanpa berlengah, saya minta diri. Nak ke tempat kerja pula.

Sambil berjalan saya terdengar pertanyaan si ibu ‘mangsa buli’ itu kepada pembuli X, “Kenapa selalu sangat pukul-pukul anak mak cik ye? Tak elok tau pukul-pukul orang…”

Dalam esak tangisan, jawab X, tersekat-sekat, “Ayah selalu marah dan pukul saya, mak pun pukul saya juga, jadi saya pukul kawan-kawan…”

Aduhhhhhhhhh… Hati saya terusik.

Sengaja saya melajukan langkah. Macam nak melarikan diri. Saya berjalan cepat-cepat, nak masuk ke kereta. Dalam kereta, mata saya bergenang.

Sebaknya rasa.

Si anak itu pukul kawan-kawan sebab dirinya selalu dipukul ibu bapanya.

Aduh.

Adilkah jika saya kata anak itu tak bersalah, tetapi ibu bapanya yang salah?

Si anak yang masih putih bersih jiwanya, diwarnakan dengan kemarahan dan sikap suka memukul ibu dan bapanya, secara langsung mendidik si anak menjadi pemarah dan pemukul juga. Dia dibuli di rumah, jadi dia menjadi pembuli di sekolah.

Allahu Allah…

Tolonglah, wahai ibu bapa, kawal emosi dan jangan diikutkan perasaan marah tanpa sebab hingga selalu memukul anak-anak.

Jiwa halus si anak itu sedang berkembang, tidak sepatutnya dihiaskan kehidupannya dengan sepak terajang.

Kawallah sikap dan fizikalmu, walaupun kau tak mampu kawal emosimu. Jangan lempiaskan semuanya terhadap anak-anak.

Aduhhhhhh, sebaknya rasa.

Tak tahu nak buat apa. Mungkin ada rezeki Allah pertemukan saya dengan ibu bapa X, harapnya boleh berkenalan dan menasihat sepatah dua kata.

Hingga saat ini saya merasakan anak itu tak bersalah, ibu bapanya yang tak patut selalu memarah dan memukulnya. Masa menulis ini pun rasa sebak, rasa perit mata…. Aduhhhh. Biarlah nak kata hati tisu pun.

Ya Allah, Kau lindungilah anak-anak kami… Dan berikan hidayah dan taufiqMu untuk kami menjadi ibu bapa yang lebih baik, berusaha dan sempurna, buat anak-anak kami dan anak-anak yang ada di sekeliling kami. Aameen.

Sebaknya masa terasa ….

 

Pagi Ahad hantar Along ST (7 tahun 8 bulan, Darjah 2) ke sekolah. Entah kenapa pagi ini terdetik rasa nak ikut sampai ke…

Posted by Syahr Musafir on Sabtu, 2 Mac 2019

Pagi ini Papa buat spageti tomato, resepi reka sendiri, inspirasi daripada Tomato Spaghetti Black Canyon, letak telur dan ayam #DapurDrSyahr#SuamiMasak #KeluargaDrSyahr #ParentingDrSyahr 03/03/2019#DiariPapaSyahr     — LINK ASAL

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *