Siapa Sangka, Pelajar Perempuan Yang Selalu Sapu Sampah Yang Saya Tak Kenal Itulah Akhirnya Menjadi Isteri Saya – Jangan Terlalu Risau Tentang Jodoh.

JANGAN TERLALU RISAU TENTANG JODOH…Kisah kami bermula apabila saya dimasukkan ke kelas Tingkatan 1.1 di Sekolah…

Posted by Syahr Musafir on Rabu, 23 November 2016

 

JANGAN TERLALU RISAU TENTANG JODOH…

Kisah kami bermula apabila saya dimasukkan ke kelas Tingkatan 1.1 di Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH), Labok, Machang, Kelantan. Nak dijadikan cerita, setiap pagi nak masuk ke kelas saya, saya pasti nampak kelibat seorang pelajar perempuan dalam kelas Tingkatan 1.2 sedang menyapu lantai kelas. Boleh kata setiap harilah nampak si pelajar perempuan ini sebab kelas saya berhadapan kelasnya.

Semasa di Tingkatan 2.1 dan Tingkatan 3.1, kisahnya bersambung kerana saya memang seringkali nampak kelibat seorang pelajar perempuan ini menyapu kelas setiap pagi kerana dia berada di kelas Tingkatan 2.2 dan 3.2, kelas kami bersebelahan. Cuma perasanlah semasa Tingkatan 3, bajunya sudah bertukar ke warna kuning – pengawas sekolah.

Sah! Dia bukan hantu.

Semasa di Tingkatan 3 (2002), saya bersama 13 calon pelajar lain akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan 9 subjek termasuk Bahasa Arab. 127 orang pelajar lain akan mengambil 8 subjek asas seperti biasa.

Oleh kerana tidak semua pelajar akan menduduki peperiksaan Bahasa Arab, kami dari tiga kelas iaitu Tingkatan 3.1, 3.2 dan 3.3 dikumpulkan dalam satu kelas untuk sesi Bahasa Arab PMR pada setiap petang, 3.15 hingga 5.15 petang. Sesi kelas bersama Ustazah Azizah Yaacob.

Saya masih ingat dalam kelas pertama, rakan baik saya mengusik saya, “Comellah dia tu. Berkenan weh rasa!” dengan loghat Kelantan, sambil menunjuk ke arah seorang pelajar perempuan.

Saya menjeling tengok ke arah seorang pelajar perempuan yang dimaksudkannya. “Ya, orangnya comel,” saya mengiyakan pujian rakan baik saya.

Sengaja, mahu buat dia puas hati dan diam. Selagi tak setuju dengan kata-kata dia, selagi itulah dia akan kacau saya. Tak dapatlah nak fokus apa yang Ustazah Azizah sedang ajar dalam kelas Bahasa Arab ini.

Nak dijadikan cerita, pelajar perempuan itu adalah pelajar yang selalu menyapu sampah dalam kelas sebelah yang saya nampak selama ini. Kami tak pernah dalam satu ‘pasukan’ kerana kelas berlainan (walaupun bersebelahan), lain rumah sukan, lain kelab dan persatuan, lain unit beruniform, lain semuanya.

“Nama dia Rahimah,” ujar rakan baik saya itu. Saya mengangguk. Malas nak melayan sebab Ustazah sedang bercakap di depan.

Nak dijadikan cerita juga, bermula kisah itulah saya mengenal pemilik nama Rahimah ini. Dalam kelas Bahasa Arab PMR yang pertama. Mac 2002 kalau tak silap.

Menjejak ke Tingkatan 4, saya ditempatkan di kelas Tingkatan 4.1. Nak dijadikan cerita, pelajar perempuan yang suka menyapu dalam kelas sebelah selama 3 tahun sebelum ini kekal dalam kelas sebelah iaitu Tingkatan 4.2 dan masih suka menyapu di kelas setiap pagi. Naik ke Tingkatan 5 pun, saya di kelas 5.1 dan dia di Tingkatan 5.2. Kelas sebelah lagi.

Memang nampaklah pagi-pagi si dia menyapu. Saya pun tak tahu kenapalah setiap hari dia menyapu dalam kelas sedangkan ada jadual bertugas harian untuk membersihkan kelas, yang sudah pastilah bukan nama dia setiap hari. Hobi dia kot, suka menyapu. Entah, saya tak pernah tanya pula…

Selepas itu saya terbang ke The University of Adelaide, Australia.

Nak dijadikan cerita, saya (tiba-tiba) ada niat nak kahwin pada usia muda (maksud saya, pada usia pengajian sarjana muda di universiti). Ketika itu saya di Tahun 1 universiti di Australia. Walaupun punya niat nak nikah, tapi saya tak punya calon di hati.

Saya mengangkat telefon. Saya dail nombor telefon Ustaz Azeez dan kami berbual seperti biasa. Berbual dengan bekas naqib usrah saya semasa di Malaysia, sebelum saya terbang ke Australia.

“Ustaz, rasanya saya macam nak menikah. Boleh saya minta Ustaz dan zaujah (isteri) Ustaz carikan calon isteri untuk saya? Kalau boleh, nak nikah semasa muda-muda ni. Macam ustazlah, kahwin semasa zaman universiti. Cari yang solehah, Ustaz. Jangan cari yang jahat-jahat,” saya memulakan bicara sambil tersenyum.

Malu rasanya menyatakan hal tersebut kepada Ustaz. Tapi nasib baik berbual menerusi panggilan telefon. Kalau bercakap depan-depan, sudah pastilah Ustaz boleh nampak muka saya merah kerana malu besar. Atau mungkin putih pucat kerana gabra.

Saya bukan berkias-kias. Orang yang rapat dengan saya tahu saya jenis straight to the point.

“Barakallahu fik, Syahr. Ustaz akan maklumkan zaujah, nanti kami update,” jawab Ustaz Eizaaz. Tenang setenang-tenangnya suara Ustaz.

Selang dua minggu kemudiannya, Ustaz menghubungi saya melalui skype. Katanya, isterinya sudah punya cadangan calon isteri yang terbaik buat saya.

“Namanya, Rahimah Ab.Rahman​..” kata isteri Ustaz.
“Seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Sama umur denganmu. Orangnya solehah dan sedang berusaha menjadi lebih solehah. Punya matlamat yang sama denganmu dalam tarbiah dan dakwah Islam,” tambah Ustazah lagi.
“Dan dia juga bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Machang, sama denganmu juga….”

Siapa sangka, pelajar perempuan yang selalu menyapu dalam kelas sebelah itulah isteri saya hari ini. Tak pernah bertegur sapa, apatah lagi berbual mesra, itulah yang jadi bidadari saya hari ini. Kami kahwin sebaik sahaja saya tamat Tahun 3. Alhamdulillah…

KESIMPULAN
Persoalan jodoh adalah suatu rahsia. SI DIA adalah seorang insan yang merupakan rahsia Allah swt. Dia akan datang, apabila tiba masa yang Allah swt izin dan tetapkan. KITA perlu sediakan diri sendiri sebaik mungkin, masanya akan tiba kita disatukan dengan jodoh kita.

Jangan terlalu risaukan siapa jodoh kita, kerana terlalu merisaukan siapa jodoh kita akan buat kita hilang fokus kepada matlamat-matlamat kehidupan yang lain seperti kejayaan akademik, bakti kepada ibu bapa, tarbiah dan dakwah, khidmat kepada masyarakat, dan sebagainya.

Jangan terlalu risaukan bila tarikh nikah kita, kerana terlalu merisaukan bila jodoh kita akan buat kita panik tanpa haluan. Ada masanya, terlalu risaukan hal jodoh sampai kita mudah lupa Tuhan, atau mempersoalkan ketentuan dan takdir Tuhan, bahkan lupa soal maut.

Mungkin jodoh kita ada depan mata, tetapi masanya belum tiba…

Ingatlah, belum bernikah itu satu ujian, sudah bernikah juga satu ujian.

Jodoh itu rahsia Allah SWT. Boleh baca Hadis 4 dalam buku Hadis 40 oleh Imam Nawawi.

Dr Syahr Musafir​
Page Inspirasi Dr Syahr Musafir & Rahimah AR​
24/11/2016 TULISAN ASAL

 

Foto #Throwback: Bersama isteri dan dua puteri kami di sekolah kami, ziarah guru-guru. Sekolah ini, bukan tempat jatuh cinta, tapi tempat bangun cinta.

Maaf tak kongsi cerita penuh, bagaimana cari duit nak nikah, dan lain-lain. Nak baca tak?

Kepada yang belum beli/baca buku saya, boleh Whatsapp 0137065332 atau hantar mesej di Facebook untuk dapatkan novel “Isteri Untuk Dia” dan “Hikayat Budak PhD” dan “Hikayat Budak Universiti” ye. Cepat, sebelum habis stok.

4 thoughts on “Siapa Sangka, Pelajar Perempuan Yang Selalu Sapu Sampah Yang Saya Tak Kenal Itulah Akhirnya Menjadi Isteri Saya – Jangan Terlalu Risau Tentang Jodoh.”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *